Nov 09, 2020 - FASSkuad Gergasi Merah membuka kempen saingan TM Piala Malaysia 2020 dengan langkah kanan selepas berjaya menewaskan Melaka United 2-1 di Stadium Hang Jebat, malam tadi.
Melaka yang beraksi sebagai pasukan pelawat di laman sendiri memulakan perlawanan dengan garang apabila beberapa kali berjaya menghasilkan ancaman ke kubu Selangor menerusi gandingan Uche Agba dan Sony Norde.
Meskipun beraksi di dalam keadaan hujan dan permukaan padang yang lecah, Selangor perlahan-lahan mengatur rentak dalam usaha untuk mencari gol pendahuluan.
Usaha berterusan itu ternyata membuahkan hasil apabila satu serangan balas yang dilancarkan oleh Sandro Da Silva dan Wan Zack berjaya disudahkan dengan sempurna oleh penjaring terbanyak CIMB Liga Super, Ifedayo Olesegun yang langsung tidak dikawal sebelum mudah memperdayakan penjaga gol Melaka, Khairul Fahmi Che Mat untuk meletakkan Selangor di hadapan pada minit ke-21.
Kedua-dua pasukan terus mengasak kubu lawan masing-masing untuk menambah jaringan namun keputusan 1-0 kekal untuk aksi separuh masa pertama.
Melaka memulakan aksi separuh masa kedua dengan misi mencari gol penyamaan namun beberapa percubaan mereka berjaya dinafikan oleh penjaga gol Selangor, Khairulazhan Mohd Khalid yang beraksi cemerlang mengawal gawangnya.
Selepas mencatatkan nama selaku penjaring, Ifedayo sekali lagi cemerlang membuat hantaran lintang cantik sebelum disudahkan dengan voli kaki kiri yang cukup sempurna oleh pemain kelahiran Brazil, Sandro Da Silva pada minit ke-52 untuk menggandakan kelebihan skuad Gergasi Merah.
Berselang empat minit kemudian, Melaka yang tersentak dengan jaringan tersebut terus kembali mengasak kubu Selangor dan berjaya merapatkan kedudukan 2-1 menerusi jaringan Uche Agba yang menyudahkan hantaran lintang dari sebelah kiri oleh Sony Norde pada minit ke-56 perlawanan.
Pemangku Ketua Jurulatih Selangor, Michael Feichtenbeiner membuat lima pertukaran untuk separuh masa kedua dengan memasukkan Aliff Haiqal, Syazwan Zainon, Ahmad Daniel, Rufino Segovia dan K. Sarkunan bagi menggantikan Sean Selvaraj, Sandro Da Silva, Wan Zack Haikal, Ifedayo dan juga Halim Saari.
Ia juga malam yang bakal diingati oleh penyokong Selangor apabila tiga pemain muda Gergasi Merah; Ahmad Zikri, Ahmal Daniel dan Aliff Haiqal telah melakukan debut Piala Malaysia mereka dengan cemerlang.
Menuju ke penghujung permainan, Melaka jelas tidak berputus asa dalam usaha mereka untuk mencari gol penyamaan namun usaha mereka digagalkan oleh barisan pertahanan Selangor yang terus menunjukkan disiplin mereka dalam bertahan.
Keputusan 2-1 kekal sehingga ke wisel penamat.
Bercakap kepada pemberita selepas tamat perlawanan, Michael menzahirkan kegembiraan setelah melihat anak-anak buahnya bermain dengan baik, biarpun dalam keadaan padang yang becak ekoran hujan lebat sebelum perlawanan.
“Kita bermain dengan baik di separuh masa pertama biarpun keadaan padang sebegini (lecak). Kita juga mencipta banyak peluang, jadi sepatutnya kita menjaringkan lebih dari satu gol pada separuh masa pertama. Apa yang pasti, kita merasa lebih yakin selepas gol pertama dan terus menerus mencipta beberapa lagi peluang baik yang lain.”
Pengendali Melaka United, Zainal Abidin Hassan pula nyata kecewa setelah pasukan bimbingannya tumpas, namun memberi kredit kepada anak-anak buahnya.
“Saya kecewa kerana tak dapat layak ke pusingan seterusnya. Tetapi pemain-pemain kita dapat lihat mereka tidak berputus asa. Dari separuh masa pertama, kita mencipta peluang-peluang, mereka bertungkus lumus sehingga minit terakhir. Satu pujian harus diberikan kepada pemain-pemain Melaka,” jelas Zainal.
Kemenangan ini sekaligus membawa Selangor melangkah ke pusingan Suku Akhir dan akan menentang pasukan Kedah yang berjaya menundukkan Pahang 3-2 pada perlawanan pusingan pertama mereka. Perlawanan Suku Akhir TM Piala Malaysia dijadualkan berlangsung pada hari Jumaat, 13 November 2020.
Tahniah Selangor! Teruskan perjuangan!